05 Mac 2016

Harian Metro: Dekorasi kontemporari


Moden dan kontemporari mempunyai ciri hampir sama dan membawa pengertian ringkas serta tidak sarat.

Antara ciri yang menyerlahkan konsep ini ialah penggunaan hitam, kelabu, perak dan putih.


Idea kontemporari terkini lebih menekankan warna terang dan bercorak geometri.

Gaya dekorasi ini menjadi aliran semasa. Antara elemen utama yang menjadi kekuatan dekorasi ialah warna, tekstur dan corak.

Ketiga-tiga elemen ini digarap dengan sempurna di segenap ruang bagi menonjolkan identiti rekaan yang lebih berbeza.

Sentuhan kotemporari juga sering dilengkapkan dengan kehadiran perabot ringkas dalam gaya kontemporari. Menerusi rekaan futuristik, sentuhan kontemporari kelihatan lebih ‘bermaya.’

Dekorasi kontemporari juga banyak diminati masyarakat bandar dan pasangan muda. Jika anda menyukai gaya masa kini, kontemporari antara pilihan dekorasi yang tepat. Gaya ini cukup teratur namun tidak kaku. Anda dapat meng­aplikasikan warna cerah seperti merah, kuning, merah jambu dan hijau.

Antara ciri khas gaya ini ialah penambahan elemen logam pada ruang dalaman seperti lampu gantung berwarna perak atau emas. Perlu diingat, keselarasan warna dan perabot perkara utama yang memberi kesan elegan.

Sentuhan dengan gaya ini juga kelihatan didominasi fabrik polos atau tanpa corak. Jika bercorak sekali pun, ternyata ukiran dan bunga-bungaan bukan pilihan.

Coraknya lebih kepada geometri, bergaris melintang atau menegak. Corak atau gambar hiasan pada dinding juga selalunya abstrak dan sukar difahami.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/118528#sthash.1dEGiaAv.dpuf

Harian Metro: Ros Jepun mudah dibiak


Bunga ros Jepun pernah mendapat perhatian di Asia Selatan dan muncul antara tanaman hiasan di beberapa bandar yang menampilkan seni bina klasik pada abad ke-18 dan 19 di Balkan, tenggara Eropah.

Kebanyakan negara menamakan bunga ini me­ngikut waktu ia berkembang.

Di Malaysia, bunga ini lebih popular dipanggil sebagai bunga pukul 10, di Bangladesh pula ia dipanggil ‘time fuul’ yang bermaksud bunga masa.

Di India, ia dipanggil ‘nau bajiya’ atau bunga pukul 9 dan begitu juga Vietnam yang menamakan bunga ini bunga pukul 10.

Di negara empat musim biasanya tulip dan hyrangea popular sebagai bunga penting dalam taman gaya Inggeris, namun hakikatnya tidak sama dengan keadaan di negara ini.

Idea mencipta taman Ing­geris sedikit berbeza dari segi pilihan bunga-bungaan kerana persekitaran kita bukan empat musim.

Di situ letaknya kreativiti dan kemampuan anda menyerlahkan kelainan selari dengan konsep taman segar dengan warna-warni kelopak bunga.

Kelainan juga meletakkan bunga ros Jepun antara pilihan utama yang paling tepat kerana ia sesuai dengan cuaca dan persekitaran negara ini.

Biarpun dikatakan berasal dari selatan Brazil yang beriklim panas selain Uruguay dan Argentina Utara, ros Jepun turut ditanam di merata dunia sebagai bunga yang disukai ramai.


Bunga ini boleh dibiakkan menerusi keratan batang dan memerlukan tanah yang bersaliran baik.

Caranya mudah saja kerana anda hanya perlu menanam keratan batang dari pokok induknya ke dalam pasu baru.

Kemudian letakan pasu berkenaan di lokasi yang menerima cahaya matahari yang banyak.

Pastikan ia disiram setiap hari jika inginkan ros Jepun di taman membesar dan menghasilkan bunga tahap optimum.

Elakkan menyiram ketika bunga tengah berkembang mekar kerana ia boleh menyebabkan bunga cepat layu.

Ada kalanya ia mudah diserang serangga perosak termasuk siput babi, bena putih, ulat daun dan belalang.


Antara bunga lain yang sesuai untuk taman Inggeris ialah helicornia, balung ayam, seroja atau bunga kertas dan ros.

Heliconia atau sepit udang adalah genus kira-kira 100 hingga 200 spesies tumbuhan berbunga asal di kawasan beriklim tropika di Afrika dan kepulauan Lautan Pasifik Barat ke Indonesia.

Balung ayam pula dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai balung ayam jantan.

Nama saintifiknya ialah Celosia, tergolong di dalam keluarga Amaranthaceae dan spesies yang banyak ditanam di kawasan Asia berasal dari England.

Ia dibiakkan melalui biji benih yang disemai di kawasan teduh dan dipindahkan apabila tumbuh menjadi anak pokok.

Pada masa sama, kehadiran pepohon hijau tetap menarik jika reka letak­nya menambahkan seri taman.

Tidak salah jika dekoratif bunga plastik atau kering digabungkan bersama bunga segar asalkan taman Inggeris yang anda impikan kelihatan natural dan tidak menyakitkan pandangan mata.


Apatah lagi padanan warna segar bunganya turut menarik dengan penggunaan perabot putih dan rustik.

Perabot seperti bangku panjang dan pintu gerbang berasaskan besi atau kayu putih antara pelengkap dekorasi taman.

Selain itu, penggunaan pagar hiasan putih yang sepadan gaya Inggeris.

Bukan sekadar mencantikkan ruang, malah pagar ini juga boleh digunakan untuk membezakan jenis tanaman di taman me­ngikut kumpulannya.

Sekiranya mempunyai keluasan sesuai, pereka landskap pasti mencadangkan dibina sebuah kolam dengan saiz sederhana bagi melengkapkan ciri-ciri taman Inggeris.

Baca di Harian Metro

23 Ogos 2015

Beri suasana segar, nyaman

Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my

ANDA perlu mengenali karakter tanaman ini yang tidak memerlukan cahaya matahari secara langsung.
Keindahan ruang dalaman yang dihiasi pokok segar menjalar dan memanjat terjaga rapi memberikan gambaran latar dekorasi di luar jangkauan anda.

Biarpun kita mempu­nyai persepsi berbeza perihal mencipta kelainan pada ruang menggunakan tanaman jenis ini, ia bergantung kepada cara atau kaedah penanamannya.

Ia tidak menjadi sesuatu yang sukar atau menyusahkan sebaliknya mampu mengembalikan suasana segar atau terapi semula jadi jika kena dengan caranya.

Apatah lagi kebanyakan tanaman menjalar atau memanjat yang ditanam di rumah sering kali mempunyai fungsi membersihkan udara secara semula jadi.

Paling penting anda perlu memberi perhatian kepada aspek kebersihan dan kekemasan ruang sepanjang masa.

Pastikan tanaman anda itu tidak mengundang rasa kurang selesa pada tetamu atau penghuni kerana penggunaan pasu atau bekas tanaman khusus amat penting.

TENTUNYA kreativiti juga penting dalam reka letak untuk tanaman jenis ini.
Selain itu, jangan abaikan aspek penyiraman dan penjagaannya supaya tanaman dalam rumah sentiasa segar dan berseri.

Antara tanaman jenis ini yang sesuai untuk ruang dalaman ialah money plant atau pokok duit-duit.

Ia tergolong dalam famili Araceae yang berasal kawasan tempatan, Indonesia dan New Guinea.

Biarpun jenis pokok yang memanjat melalui akar udara yang bercangkuk, namun penggunaan pasu adalah kaedah terbaik jika ia ditanam di ruang kediaman.

Daunnya malar hijau dengan bintik-bintik kuning, berselang-seli dan berbentuk jantung dan tumbuh hingga 20 meter panjang.

Ketika matang, daun-daun itu mencapai 100 sentimeter panjang dan berbentuk pinatifid, iaitu berlekuk hingga tulang daun.

DI ruang mana sekali pun aspek kebersihan tanaman amat penting.
Berada di ruang dalaman sekali pun, tanaman itu memerlukan cahaya sederhana, antara suhu 17 hingga 30 darjah Celsius.

Secara am, pokok ini hanya memerlukan air ketika daun-daunnya kering jika disentuh.

Pastikan pasunya sentiasa ditukar setiap beberapa tahun dan money plant juga mudah ditanam secara hidroponik.

English ivy juga antara tanaman memanjat yang sesuai untuk menghiasi ruang dalaman.

Jika dijaga rapi, tanaman ini memberikan suasana berbeza pada rak atau meja dengan dedaunnya yang tumbuh melata.

Perlu diperhatikan juga kesesuaiannya kerana English ivy lebih subur dalam suhu sejuk dan udara lembap.

Bagaimanapun, ia perlu ditempatkan pada kawasan yang mempunyai cahaya terang bagi membantu daunnya kekal dalam warna asal.

Popular sebagai tanaman memanjat di negara empat musim, English ivy yang tergolong dalam famili Araliaceae ini antara spesies yang berasal dari Eropah dan Asia Barat.

PALING penting anda perlu memberi perhatian kepada aspek kebersihan dan kekemasan ruang sepanjang masa.
Tanaman ini juga dikatakan mampu memberikan membersihkan udara sekali gus menampilkan suasana lebih segar.

Pokok heart-leaf philodendron pula mempunyai karakter daun yang berkilat, berbentuk jantung dan antara tanaman untuk ruang dalaman yang mudah dijaga.

Tanaman yang terkenal di negara empat musim itu perlu disiram sekurang-kurangnya seminggu sekali dan kadar penyiramannya berbeza ketika musim sejuk.

Tidak ketinggalan pokok creeping fig atau ara menjalar yang menarik di tanam di ruang dalaman.

Jika kena dengan penjagaan, tanaman ini boleh tumbuh melata pada rak atau ruang tertentu dengan daun berbentuk hati.

Anda perlu mengenali karakter tanaman ini yang tidak memerlukan cahaya matahari secara langsung.

Jangan abaikan aspek penyiraman terutama ketika cuaca panas dan sebaliknya.

Sementara itu, pokok sirih Belanda atau devil’s ivy dan spider plant juga antara tanaman memanjat dan menjalar yang sesuai dalam menghiasi ruang kediaman anda.

ENGLISH ivy lebih subur dalam suhu sejuk dan udara lembap.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:01 AM

19 Jun 2015

Tak Cukup Duit Nak Dekorasi Rumah? Cuba Tips Ini!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.



Rumah adalah harta termahal di dunia tetapi wajib ada pada setiap orang di dunia ini. Tak kiralah rumah sewakah, rumah belikah. rumah teres berkembar ke, rumah banglo ke, semua orang perlukan rumah. Untuk apa sebenarnya? Biasalah untuk tempat berteduh dari hujan dan panas.

Selain itu anda mesti bosan sangat dengan suasana di rumah. Anda inginkan modifikasi yang memuaskan hati anda dan mesti untuk keselesaan anda dan keluarga anda.

Anda inginkan semuanya, tetapi bajet yang sangat besar menyebabkan anda jadi terbantut. Ada juga buat pinjaman peribadi untuk merealisasikan rumah impian anda.

Ada caranya, meh saya tunjukkan.

Langkah Asas untuk memodifikasi rumah kesayangan anda adalah:

1. Tentukan Konsep Rumah Anda
Setiap orang semestinya ada citarasa sendiri. Ada yang nak versi Inggeris, Tradisional, Moden Kontemporari, dan konsep lain yang anda suka. Dengan konsep ini anda bakal mencari yang mana yang sesuai untuk kediaman anda.

2. Memilih Warna
Pilihlah warna yang anda suka, contohnya anda suka warna biru laut di ruang tamu, atau warna gelap di bahagian bilik tidur atau warna campuran ton di mana-mana anda suka.

3. Pemilihan Perabot
Jika tema moden, perabot yang sesuai berbentuk ringkas, kaki stainless steel. Bagi tema Bali, perabot kayu jati dan berkerawang. Jika stail Retro, perabot-perabot zaman Retro, lukisan pop art terkenal Andy Warhol.

4. Pemilihan Lampu
Percahayaan merupakan salah satu elemen penting dalam dekorasi rumah dalam mewujudkan mood ruang, memberikan suasana romantik dan rasa cozy. Tanpa percahayaan yang cukup, kediaman anda akan nampak kusam dan kelam. Gunakan pelbagai variasi lampu seperti lampu meja, lampu lantai dan chandeliar untuk menerangi rumah.

Ingin lebih lagi mengenai dekorasi di rumah? E-Buku DekorasiBajet.com membantu anda untuk melihat apa yang anda inginkan melalui bajet anda.

Ia mempunyai banyak tips mudah untuk memilih dan menggayakan dekorasi anda mengikut kehendak anda tetapi dengan bajet sangat rendah.

Untuk maklumat lanjut, layari DekorasiBajet.com.

20 Mac 2015

Inspirasi Deko: Menata rias dapur sempit

Oleh Faizal Zain

ADAPTASIKAN pilihan kabinet dapur dari warna cerah.
Salam Deko! Kini semakin banyak kediaman dibina dengan ruang dapur yang kecil dan sempit. Anda tentunya kurang selesa dan ini mungkin dipengaruhi budaya serta cara hidup kita yang gemar memasak, selain menghasilkan pelbagai hidangan.

Tidak kurang juga yang memikirkan keselesaan memasak jika mengadakan kenduri atau majlis keramaian.

Ternyata, kewujudan ruang dapur yang kecil dan sempit adalah perkara biasa bagi kebanyakan kita.

Perkara ini sudah menjadi masalah rutin yang dihadapi kebanyakan penghuni pangsapuri, kondominium atau flat.

Tidak perlu risau, kerana terdapat pelbagai cara untuk menggunakan ruang yang ada semaksimum mungkin dalam menata rias ruang dapur sempit supaya lebih praktikal.

Memiliki set kabinet dapur lengkap adalah lebih praktikal. Apabila sudah mempunyai kabinet dapur segala peralatan memasak, keperluan dapur dan pinggan mangkuk dapat disusun dengan lebih kemas dan sempurna. Tidaklah bersepah di merata-rata tempat.

Sudip, senduk dan beberapa peralatan memasak juga lebih baik digantung di bahagian dinding dengan kemas.

Selain memudahkan, ia juga membuatkan barangan tersusun dengan rapi. Dapatkan rekaan kabinet dapur yang mempunyai banyak ruang mahupun laci kerana sudah semestinya kita memerlukan tempat penyimpanan perkakas lebih dari biasa.

Jika mempunyai lebih modal, anda boleh dapatkan rekaan pintu kabinet dapur daripada jenis cermin.

Secara saintifiknya cermin dapat membalikkan ilusi ruang dan ini secara tidaknya dapat memberikan gambaran ruang yang lebih luas.

Pastikan anda membina kabinet dapur hingga ke ruang siling. Ini bagi menambah ruang penyimpanan supaya lebih luas atau besar.

Bagi yang gemar memasak dan mahu memiliki pelbagai peralatan memasak, pastikan anda membeli peralatan itu daripada saiz kecil hingga sederhana saja.

Elakkan membeli peralatan itu pada saiz yang besar memandangkan ruang dapur yang anda ada amatlah terhad.

Jika semua elemen ini diterapkan, anda tidak lagi perlu pening kepala dalam menangani isu ruang dapur sempit.

Seterusnya, adaptasikan pilihan kabinet dapur daripada warna cerah dan begitu juga warna dinding supaya dapat membantu ruang dapur sempit kelihatan lebih luas dan selesa.

Sumber: Harian Metro

Keindahan ibu kota Maldives

MALE merupakan ibu kota Republik Maldives yang serba moden.

SEBUT sahaja Maldives, kebanyakan masyarakat mesti membayangkan keindahan pulau, kejernihan laut biru dan butiran pasirnya yang bersih.

Republik Maldives yang terletak di Lautan Hindi begitu sinonim dengan percutian-percutian romantis dan menjadi destinasi utama untuk kebanyakan pasangan berbulan madu.

Secara tidak langsung, populariti kepulauan di Maldives telah menyumbang dalam menjana pendapatan negara. Industri pelancongan merupakan sektor pendapatan terbesar di negara yang mempunyai sebanyak 1,190 pulau itu.

Sungguhpun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan ibu kota negara itu, Male.

Male atau disebut sebagai ‘Malei’ dikatakan menjadi lokasi transit bagi penumpang yang menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibrahim Nasir.

Male yang juga dikenali sebagai ibu kota terkecil di rantau Asia, mempunyai populasi penduduk kurang daripada 100,000 orang dan lebih bersifat komersial.

Berbanding dengan kepulauan lain, Male tidak mempunyai pantai seperti yang digambarkan oleh pengunjung. Male merupakan pusat bandar yang jauh lebih sesuai untuk pengunjung korporat.

Resort

Industri perikanan merupakan penyumbangan kedua terbesar dalam menjana pendapatan ekonomi di Maldives.

Male yang juga merupakan sebuah pulau hanya mempunyai kawasan sebesar kira-kira dua kilometer persegi dan berdekatan dengan lapangan terbang negara itu.

Maldives mempunyai kira-kira 150 resort di pulau-pulau tertentu tetapi tidak di Male. Menariknya mengenai Male, ia mempunyai perhotelannya yang tersendiri dan lebih bersifat korporat seperti Hotel Jen Male.

Pengunjung boleh menaiki bot laju dari lapangan terbang ke hotel tersebut yang memakan masa hanya tujuh minit.

Selain itu, terdapat pelbagai tempat menarik seperti Pusat Islamik yang merangkumi Masjid Utama, Hukuru Miskiiy dan Muzium Negara.

Hukuru Miskiiy atau nama lainnya, Masjid Jumaat merupakan masjid paling lama yang dibina pada tahun 1656 di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Iskandar.

Hukuru Miskiiy terletak di Kaafu Atoll, Male, mempunyai seni bina yang unik, tidak seperti masjid-masjid moden di Malaysia.

Masjid tersebut dibina dengan menggunakan gabungan bahan konkrit dan kayu. Konkrit digunakan untuk membina badan masjid manakala kayu pula untuk atap dan pintu. Terdapat juga ukiran-ukiran bermotifkan khat Islam dan alam di sekeliling Hukuru Miskiiy.

Berdekatan dengan masjid tersebut terletaknya makam Abu Al-Barakat Al-Baghdadi yang dikenali sebagai Medhu Ziyaaraiy. Abu Al-Barakat merupakan seorang cendekiawan dari Maghribi, yang juga memperkenalkan Islam di Maldives pada tahun 1153.

Sementara itu, bandar Male yang serba moden mempunyai pantai buatannya tersendiri. Pulau buatan yang dikenali sebagai Raalhugandu terletak di tenggara Male.

Pengunjung berpeluang untuk melihat peluncur-peluncur ombak menunjukkan kemahiran mereka menawan ombak besar di samping bersantai secara kasual.

Pulau buatan

Huruku Miskiiy ini dibina pada tahun 1656 dan menjadi tarikan pelancong di Male.

Raalhugandu bukan sahaja untuk peluncur ombak tetapi kawasan tersebut riuh-rendah dengan pelbagai jenis temasya seperti konsert dan karnival.

Selepas industri pelancongan, sektor perikanan merupakan industri kedua terbesar dalam menjana ekonomi Maldives. Oleh yang demikian, pasar ikan menjadi salah satu tarikan pelancong.

Pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis ikan segar yang dibawa oleh nelayan tempatan pada waktu tengah hari.

Ikan tuna yang ditangkap oleh nelayan kebanyakannya dieksport.

Pengunjung juga boleh meninjau pasar tani yang menawarkan pelbagai jenis sayur dan buah-buahan segar selain menikmati hidangan di restoran-restoran.

Disebabkan Male merupakan negara Islam, arak diharamkan dan tidak dihidangkan di restoran atau kafe. Begitupun, beberapa resort menghidangkan arak kepada pelancong bukan Islam.

Pelancong tempatan boleh mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ibrahim Nasir. Perjalanan ke Male dari Malaysia hanya mengambil masa selama empat jam dan mempunyai satu transit di Sri Lanka. – Agensi

Artikel Penuh: Kosmo!